Page 11 - Buku_Laporan_Tahunan_SPA_Kedah_Tahun_2025
P. 11
RINGKASAN EKSEKUTIF
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera,
Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, Laporan Tahunan Suruhanjaya Perkhidmatan
Awam Negeri Kedah bagi tahun 2025 telah berjaya disediakan sebagai dokumentasi
rasmi bagi pencapaian dan hala tuju perkhidmatan awam negeri.
Sepanjang tahun 2025, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Kedah (SPA Kedah)
terus memainkan peranan strategik sebagai pihak berkuasa melantik dalam
memastikan pengurusan pengambilan dan perkhidmatan penjawat awam negeri
dilaksanakan secara profesional, telus dan berintegriti. Pelaksanaan fungsi
Suruhanjaya dilaksanakan selaras dengan aspirasi Pelan Strategik SPA Kedah 2025–
2030, yang menetapkan hala tuju Suruhanjaya sebagai peneraju utama pengambilan
penjawat awam Negeri Kedah menjelang tahun 2030 melalui pendekatan
transformasi digital dan pengukuhan tadbir urus organisasi.
Bagi memenuhi keperluan sumber manusia sektor awam negeri, SPA Kedah telah
melaksanakan beberapa urusan pengambilan bagi jawatan dalam perkhidmatan
awam negeri sepanjang tahun 2025. Secara keseluruhannya, sebanyak 11 jawatan
telah diiklankan dengan jumlah permohonan sebanyak 43,260 permohonan,
mencerminkan tahap minat yang tinggi terhadap peluang kerjaya dalam
perkhidmatan awam Negeri Kedah.
9

